Monday 20 October 2014

I Want To Touch A Dog

Program 'I Want To Touch A Dog' yang berlangsung Ahad lepas kecoh dibincangkan terutama di kalangan orang Melayu Muslim. Ada macam-macam pandangan tentang isu ini. Biasalah, ada yang fanatik mati-mati kata haram, berdosa. Ada juga yang kata inilah satu ruang untuk kita tonjolkan sikap sebenar seorang Islam. Penuh peri kemanusian dengan makhluk ciptaan Allah.

Dikatakan antara tujuan program adalah untuk menghilangkan perasaan takut terhadap anjing, terutama di antara penganut Islam. Semasa program juga diajar tatacara menyucikan diri selepas terkena anjing.

Saya rasa bersyukur dengan penganjuran program ni.  Bersyukur sebab ia umpama satu tamparan kuat di pipi saya yang dah agak leka dan terlupa. Tamparan tu beserta dengan pesanan, "Jaga anak kamu. Jaga akidah mereka. Pastikan aqidah ahli keluargamu aqidah yang benar. Jarum halus menggoyah aqidah sekarang amat halus. Ia tidak hanya datang dalam bentuk yang jelas nampak buruknya. Zaman sekarang ia datang dalam bentuk yang sangat mengelirukan". 

Analogi mudah, kalau kita nampak orang yang kena demam campak, pasti kita akan berhati-hati dan tak beri anak kita bermain dengan orang tu. Sebab takut berjangkit. Petanda penyakitnya jelas nampak di mata.  Tapi macamana dengan orang yang ada penyakit SARS yang boleh berjangkit melalui udara? Simptom penyakitnya kurang jelas di mata kasar, hanya orang yang mahir boleh tahu. Entahkan, beria-ria kita jauhkan diri dari orang yang kena demam campak, alih-alih kita duduk sebelah orang yang kena SARS. 

Begitu ancaman akidah di zaman sekarang. Hanya insan yang ada ilmu di dada yang berpegang dengan aqidah yang benar sahaja yang akan selamat.  Ujian ancaman bukan hanya datang daripada 'missionary', yang berpakaian baju keagamaan mereka, ujian ancaman aqidah zaman ini boleh datang daripada insan yang berketayap berjubah.  

Kita tak mampu menafsir ancaman tersebut dengan mudah. Tapi kita boleh berusaha memperkuatkan 'sistem imun' iman kita dengan ilmu  dan aqidah yang benar. Sistem imun iman yang kuat, boleh memberi signal sesuatu itu menyimpang dari ajaran yang benar dengan hanya sekilas pandang. 

Dikatakan ulama, pandangan hati atau first instict selalunya benar selagimana kita dekat dengan Allah. Namun, kalau kita kerap melawan naluri halus dalam hati, lama kelamaan ianya tidak lagi bagi signal yang benar. Perbuatan salah yang kita jadikan kebiasaan membuatnya, lama-lama dah hilang rasa bersalah masa membuatnya. Macam kata pepatah la, 'Alah Bisa, Tegal Biasa'.

Pandangan peribadi saya tentang program ini? Saya suka jawapan ringkas sahabat saya. Katanya, " Anjing itu najis. Islam ajar kita kasihan dan ada belas ehsan kepada haiwan. Namun ia tetap najis. Macam taik ayam. Kalau tersentuh dalam keadaan ianya kering dan tangan kita pun kering, tak jadi najis. Tapi, ada tak kalau kita jumpa taik ayam, kita nak pergi sentuh dan belai?

'My take' daripada pengajuran program ini ialah, saya harus lebih banyak bercerita tentang hukum hakam agama dalam bentuk santai dan praktikal dengan anak-anak. Saya tak boleh ambil mudah dengan apa yang berlaku di sekeliling. Hukum yang wajib, kekal wajib dan tidak boleh diringankan. 

Teringat saya beberapa hari lepas Auni menggayakan hijab ala-ala moden. Dipakainya serkup kepala dan ditutup kepalanya dengan hodie baju. Diletakkan pin di hodie untuk jadikan ia macam tudung. Saya biarkan saja walaupun saya tak berkenan sebab saya fikir, " Biarlah budak-budak nak berfesyen.  Lagipun dia tak wajib bertudung lagi." 

Program 'I Want To Touch A Dog' ni beri kesedaran yang saya tak boleh meringankan hukum. Saya patut terangkan dan ajar hukum hakam dengan jelas pada Auni. Saya tak boleh biasakan Auni dengan perbuataan meringankan hukum. Saya patut cakap, " Auni, menutup aurat itu menyembunyikan aurat kita dan bentuknya. Cara Auni pakai ni tak sempurna menutup auratnya. Orang boleh nampak bentuk leher Auni dan Auni tak tutup dada. Kita patut melabuhkan tudung hingga ke dada."

Ajarkan anak dengan ajaran Islam yang tepat, bukan separa-separa. Bak kata prinsip di pejabat saya, "First Thing Right, Everytime". Jangan biasakan yang salah.

InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment