Sunday 5 October 2014

Aidiladha Yang Istimewa

10 Zulhijjah menandakan hari raya Aidiladha juga dikenali sebagai Raya Haji atau Raya Korban. Berbeza dengan Aidilfitri yang disambut pada 1 Syawal, perayaan Aidiladha kurang 'thrill' berteka teka esok raya ke tidak. Sebab tarikhnya telah diketahui 10 hari lebih awal.  Thrill untuk tahu tarikh Aidiladha hanya wujud di kalangan jemaah haji yang mengharapkan ianya pada hari Sabtu yang menandakan wuquf pada hari Jumaat yang digelar Haji Akbar.

Mungkin juga sambutan Aidiladha kurang meriah rasa menyambutnya sebab tidak diwajibkan berpuasa sebelum menyambutnya serta tiada amalan solat terawikh. Saya sendiri, semasa petang terakhir di pejabat sebelum bercuti Aidiladha, kurang kedengaran ucapan "Selamat Hari Raya" sesama rakan sepejabat. Ucapan raya di email, apatah lagi kad,memang tak pernah ada.

Raya Puasa meriah dengan adanya persiapan pra perayaan selama sebulan iaitu ibadah puasa. Raya Kurban atau Raya Haji pula sebenarnya persiapan pra rayanya dimulakan sejurus selepas raya puasa! Iaitu 2 bulan sebelum Raya Korban. Kalau siapa yang biasa tinggal di kampung mesti tahu apa persiapaannya. Mencari lembu korban dan individu yang nak buat korban! Kalau di kampung saya di Kelantan, dalam bulan Syawal tu dah mula soseh soseh pakcik2 di madrasah berbicang mencari gu (kawan2) untuk kongsi bahagian korban dan aktiviti mencari lembu korban. Ada yang membela sendiri lembu untuk pastikan bagi makanan terbaik pada lembu demi memastikan binatang korbannya ialah yang terbaik.

Tiap kali Raya Korban saya mesti teringat arwah Tok Ayah terutama masa dengar alunan takbir raya yang saya panggil 'Bang (Azan) Sedih'. Teringat suara merdu Tok Ayah mengalun takbir. Dia yang tahu kesukaan saya ni selalu pesan, "Dik, dengar la puas-puas Bang Sedih nih. Nanti asar Hari Raya ke 4 dah takde bang adik nih".



Melihat pada tempoh Takbir Raya selama empat hari berbanding Aidilfiti yang hanya sehai, sememangnya Aidiladha adalah perayaan yang lebih istimewa.  Keistimewaannya terletak pada dua ibadah utama iaitu ibadah Korban dan ibadah wuquf.  Ibadah Korban istimewa sebab ianya ibadah terawal yang Allah  syariatkan. Bermula dengan peristiwa Nabi Ibrahim yang diperintahkan Allah melalui mimpi untuk mengorbankan anaknya. Ceramah di radio ikim memperincikan, ini menggambarkan bahawa ibadah korban adalah suatu ibadah yang sabgat diperlukan manusia.  Ianya ibadah yang kita buat semata-mata hanya kerana Allah. Tanda ketaatan seorang hamba. Ianya melibatkan pengorbanan harta - wang ringgit. Ianya tidak wajib, tapi sunat muakkad. Takkan kita berdosa jika tidak kita laksanakan. Tapi kita berusaha melaksanakannya sebab kita mahu menggembirakan Pencipta kita bahwa kita sanggup berkorban demi melaksanakan ibadah sangat-sangat Allah sukai. 

Ibadah wuquf pula berlangsung sehari sebelum Aidiladha iaitu pada 9 Zulhijjah.  Istimewanya ibadah wuquf di Arafah pula kerananya ianya kemuncak ibadah haji. Satu-satunya rukun haji yang perlu dilaksanakan sendiri dan tidak boleh diwakilkan kepada orang lain. Hatta kalau sakit sekalipun, mereka akan dibawa untuk berwukuf. Ianya gambaran kepada perhimpunan besar kita di padang mahsyar kelak. Aidiladha menandakan kemenangan para hujjaj yang telah selesai melaksanakan ibadah wuquf. 

Suasana wuquf. Jemaah Haji keluar dari khemah dan berdoa bermula masuk waktu Zohor hingga masuk Maghrib.

Rasulullah berwuquf di kaki Jabal Rahmah. Sebab itu Jabal Rahmah menjadi pilihan ramai jemaah haji ketika wuquf.

Takbir Raya pula menandakan para hujjaj yang telah selesai melontar jamratul Aqabah. Jemaah haji tidak boleh bertakbir sekiranya belum selesai melontar Jamratul Aqobah. Takbir berakhir pada hari 13 Zulhijjah pula.melambangkan jemaah haji telah selesai melontar di kesemua jamrah di ketiga-tiga hari melontar.

Gambar menunjukkan tiang jamrat yang lebar. Waktu sunat untuk melontar ialah waktu dhuha 10 Zulhijjah.

Kompleks melontar 5 tingkat - kurang kesesakan untuk melontar

Sememangnya banyak kemenangan yang dirayakan semasa Aidiladha. Dan ianya hanya akan benar2 dirasai oleh siapa yang memahami tiap ibadah yang terkandung di dalamnya. Mungkin menjadi tetamu Allah menunaikan haji bukannya sesuatu yang boleh kita buat setiap tahun namun kita masih ada ibadah korban. Sebaik-baik korban ialah yang kita lihat sendiri darah binatang korban kita mengalir. Untuk itu, kita kenalah awal-awal book bahagian korban awal2. Dalam kata lain, buat persediaan awal, bukannya seminggu sebelum Aidiladha menjelma.

Saya rasa, semangat meraikan Aidiladha akan lebih terasa bila kita buat amalan2 khusus yang disunatkan khusus untuk Aidiladha. Kepada anak2, saya terfikir perlara2 berikut boleh dibuat untuk menambah rasa excited untuk merayakan Aidiladha dan menghayati erti sebenar Aidiladha. 

Antaranya:-
1) Ajak menabung dari awal tahun Islam untuk tujuan berkorban nanti. Jadi bila menjelang Zulhijjah semestinya mereka terlebih2 bersemangat untuk melihat binatang korban hasil tabungan mereka semenjak awal.
2) Ajak anak berpuasa sunat 10 Zulhijjah. Ceritakan kepada mereka tentang ibadah wuquf.
3) Ajak anak-anak berdoa beraungguh2 ketika waktu wuquf jemaah haji di Arafah kerana ianya waktu mustajab doa. 
4) Berpakaian cantik di pagi raya dan solat sunat Aidiladha di masjid.
5 )Ajak anak bertakbir raya tiap kali lepas solat sehingga asar hari ke 13 Zulhijjah.

Moga2 dengan kita usaha kita untuk lebih menghayati Aidiladha menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Amin.

No comments:

Post a Comment