Monday, 25 August 2014

Rainbow Loom

Demam gelang getah warna-warni atau nama glamour Rainbow Loom dah sampai ke rumah! Kenal benda ni Ramadhan yang lepas, lepas raya baru Mimi jumpa kedai yang jual. Bersungguh-sungguh Mimi cari (padahal kedai kat ofis dia jek) sebab Mimi pun suka main ni!
Satu set Raibow Loom buat hati anak-anak (dan mak) berbunga-bunga

Haa..ni dia alatan untuk buat gelang PLUS youtube ya. Untuk anda yang baru nak berjinak-jinak ataupun yang nak cuba design baru. Google aje "rainbow loom tutorial" berderet lah keluar video yang berkaitan.

Alatan khas warna putih dan 'jarum' warna kuning lah alatan utamanya.

Sekejap je Auni dapat tangkap step buat ni. Mula-mula saya ingatkan saya bakal cari susah beli benda ni sebab saya bayangkan nanti sayalah yang kena meminta benda alah ni. Salah rupanya! Jangan sesekali 'underestimate' bakat anak-anak ya =)

Haris main-main letak kat kaki lah sebab alat-alat semua kakak dah conquer. *ehh, apa bekas vitamin buat di situ..iklan..haha

Close up: Kakak Auni tekun buat gelang pertama dia
Agak obses dengan Raibow Loom ni sampai saya google ceritanya. Rupa-rupanya ianya hasil ciptaan anak Malaysia!! Wowwww... u make us pride Mr Cheong Choon Ng. Si bapa, seorang jurutera Nissan pada awalnya nak 'impress' anak-anak perempuan dia dengan kebolehan dia memintal gelang getah tapi akhirnya dia rasa susah sebab saiz jarinya yang besar.  Being an engineer, a problem is an opportunity for new invention. Akhirnya dia cipta alatan untuk memudahkan dia memintal getah. Dipendekkan cerita, rekaannya ini akhirnya mendapat sambutan luarbiasa di kalangan anak-anak sekolah.  Bahkan, anak-anak dah letak gadget, ipad dan bertukar main Rainbow Loom ni. Antara artikel berkaitan bolek klik di sini dan sini

Colorful like rainbow =) 
Dek permintaan yang sangat hebat, ciptaan Mr Ng ni banyak di cetak rompak. Hebatnya fenomena ni sampaikan Toys R Us pun tiru dan disaman oleh Mr Ng. Tak tau pulak saya apa hasil saman tu.  Dekat pasar malam pun ada jual benda ni. Harga dalam range rm12-rm17 jugak.  Atas semangat kesetiaan yang tinggi, saya cuba untuk cari Rainbow Loom yang asal. Malangnya tak jumpa =( Maafkan saya Mr Ng, saya dah cuba beri sokongan pada hasil anak tempatan. Tapi semangat membara tak sabar nak ber'rainbow loom' buat saya tak sabar untuk tunggu produk yang original sampai ke Malaysia. Saya beli yang ini dulu, harap cepat-cepatlah produk Mr Ng masuk ke pasaran tanah air.

..macam mami jarum dah jadi
Esoknya kami pergi breakfast kat Ikea. Auni dan Iman melaram dengan gelang ni lah. Tengok-tengok kawan kat meja sebelah pun pakai gelang ni. Masing-masing pakat jeling tangan masing-masing..haa..macam orang tua eh, tengok bling-bling orang lain.

Proud with her own creation. Great job, Auni!

Saya rasa fenomena Rainbow Loom ni  sesuatu yang bagus.  Di saat ibu bapa pening sebab anak-anak dah makin 'hook' dengan internet dan games sahaja, Rainbow Loom muncul sebagai alternatif. Raibow Loom ni bagus untuk ajar anak untuk fokus, sabar, berkreatif dan juga semangat kerjasama. Auni lepas buat untuk diri sendiri, dia buatkan untuk adiknya Iman dan juga satu special untuk Mimi! Untuk Mimi kena panjang la sebab tangan Mimi besar..haha..special dia design, ada dua ton warna. Lepas buat gelang, Auni buat cincin pulak. 

Mmm..mungkin lepas ni kita semua patut berkreatif dan ajar anak-anak main maianan masa zaman kita kecik-kecik dulu. Manalah tau lepas ni kita bakal cipta satu mainan kanak-kanak yang jadi fenomena macam Rainbow Loom ni jugak. kan?!

Friday, 22 August 2014

Anak Angkat Palestine?

Email berikut saya terima daripada Puan Lina Karim, ibu kepada dua anak yang cintakan Al Quran, Darwisya dan Darwish.  Isu yang Puan Lina tulis ni sangat menarik hati. Saya share di bawah.

Assalamualaikum Faza yang dirahmati Allah,

Saya ada dimaklumkan tentang usaha satu badan NGO untuk membawa anak yatim Palestin ke Malaysia. Memang ramai yang berminat. Saya percaya ini adalah disebabkan oleh rasa kasih sayang, perasaan ingin membantu dan kasihankan mereka. Apa lagi setiap hari kita dipaparkan di laman media dengan wajah-wajah comel mereka dibedil oleh Yahudi yang tidak berhati perut. Mereka hidup dalam keadaan yang penuh dizalimi.

Palestin adalah satu bangsa yang kuat. Bangsa yang diuji yang mewakili seluruh masyarakat Islam dimuka bumi. Mereka adalah satu bangsa yang "hidup nekad, mati berjihad" kerana mereka sangat dekat dengan kematian setiap hari. Tiada masa untuk mereka lalai, lupa atau leka. Samada untuk diri sendiri atau dalam mendidik anak anak mereka.

Berbeza dengan kita yang sentiasa lengah dan leka.  Bila anak merajuk tidak dibenarkan bermain ipad atau gadjet, ibubapa minta diberi satu dua ciuman, kemudian memberinya semula. Jika tidak dibenarkan menonton TV, mereka menangis mengamuk, kerana tidak mahu ianya berpanjangan, mereka bukakan TV itu semula. Jika disuruh mengaji, mereka tidak peduli, ibubapa berkata "Tidak mengapalah.. badan pun dah letih ni"

Bagi saya bukan anak Palestin yang perlu kesini tetapi ibubapa sini yang perlu untuk ke sana. Perlu untuk menerima tarbiah secara langsung tentang kehidupan yang makin suntuk masanya ini. Tiada lagi masa untuk lalai dan leka. Supaya mereka menghayati pentingnya mendidik generasi ditangan mereka itu yang akan bangkit membantu kebangkitan Islam akan datang.

Mungkin bangsa Palestin adalah bangsa yang diuji, dan kita pula adalah bangsa yang membantu yang sedang diuji? Tidak mustahil bagi Allah. Allah pernah memilih bukan Arab - Salahuddin Al Ayubbi, yang menjadi pembebas Palestin satu waktu dahulu, maka tidak mustahil ianya terjadi sekali lagi iaitu datang dari yang bukan Arab. Kita tidak boleh mengubah dunia diluar tetapi kita boleh mengubah dunia milik kita - iaitu diri kita, anak-anak kita, keluarga kita. Dunia akan bertindak mengikut apa yang telah kita ubah ini kemudiannya nanti.

Beruntunglah ibubapa yang mempunyai hati yang berada di Palestin tetapi tubuh berada di Malaysia. Itulah kita.. itulah saya.. itulah Faza.  Itulah dia ubat kepada leka dan lengah dalam mendidik anak. Semoga kita punya semangat berjuang dalam mendidik anak-anak dan beruntungnya kita disini adalah kerana kita diberi Allah kebebasan untuk membuat pilihan memberi yang terbaik kepada anak-anak. Tidak seperti ibu-ibu di Palestin yang serba kurang dan serba terbatas. Hargailah kelebihan yang Allah beri pada kita disini.

Untuk pengetahuan Faza. adalah menjadi cita-cita saya untuk melakukan apa yang terdaya dan berkongsi apa yang ada untuk membawa perubahan ini. Pada bulan Disember ini, saya akan mengadakan 2 seminar pada 2 hari - Sabtu dan Ahad. Semoga perkongsian seminar ini akan menjadi satu tsunami yang akan mencetuskan semangat ibubapa dalam mendidik generasi yang akan memenangkan Islam satu hari nanti. Perlu diingat, kegemilangan Islam satu waktu dahulu asasnya adalah anak mereka dididik menghafal al Quran sedari kecil. 

27 Dis 2014 (Sabtu)  
Seminar Mengajar Menghafal Al Quran Dari Bayi Kaedah Darwish Darwisya.
(Bagaimana mengajar anak menghafal al Quran hingga mereka boleh menghafal 3o surah terakhir pada umur 3 tahun) 

28  Dis 2014 (Ahad)
Seminar Pareting Al Fateh 
(Bagaimana Al Fateh Dididik hingga beliau menjadi Pembuka Kota Konstantinopal yang mashyur satu ketika dahulu)

Untuk keterangan lanjut atau pendaftaran, sila layari http://member.islamicparentingnetwork.net/wp/kursus/

 Ikhlas dari, 

Lina Karim 


Jom bina semangat Palestine dalam jiwa anak-anak kita! Moga Allah mudahkan usaha Pn Lina. Saya dan suami pernah menghadiri seminar Puan Lina. Apa yang dikongsi adalah ilmu keibubapaan yang sangat kita perlukan. Pergilah!



Monday, 14 July 2014

DOA QUNUT NAZILAH BUAT GAZA

Perkembangan terkini akan saudara Islam di Gaza memang sesuatu yang cukup menyentap perasaan.  Sampaikan satu masa, saya rasa dah tak mampu nak tengok atau baca cerita tentang Gaza. Sehinggalah saya teringat cerita sahabat-sahabat yang pernah bertemu saudara Palestine dan ceramah daripada ulama dari sana.  Pesanan mereka sama iaitu, rakyat Palestine sangat mengharapkan doa daripada saudara Islam di seluruh dunia.  Maka hari ini, saya berazam untuk kembali berdoa Qunut Nazilah tiap kali saya teringat, terdengar atau terbaca tentang Gaza. 

Doa Qunut Nazilah



Selalunya, ayat terakhir yang membawa makna "Kalahkanlah mereka. menangkanlah kami ke atas mereka" ini di ulang-ulang sebanyak 3 kali sambil membayangkan Allah beri kemenangan kepada saudara kita di sana. Doa dengan penuh keyakinan, bukankah doa itu senjata terkuat orang mukmin?

Sejarah Qunut Nazilah


Qunut Nazilah ni Rasulullah baca selepas peristiwa pembunuhan 60 orang penghafaz Al Quran. Ianya dibacakan pada waktu iktidal selepas rukuk rakaat terakhir. Saya petik hadith berkenaan peristiwa tersebut di bawah:

Diceritakan kepada kami Asim berkata, aku bertanya pada Anas bin Malik tentang qunut, lalu dia berkata sememangnya qunut itu ada. Aku berkata samada sebelum rukuk atau selepasnya, Anas berkata selepas rukuk. Aku berkata lagi, sesungguhnya seseorang telah mengkhabarkan kepadaku bahawa engkau memberitahunya selepas rukuk. Anas berkata dia berdusta, sesungguhnya Rasulullah S.A.W membaca qunut selepas rukuk selama sebulan dan diperlihatkannya ketika mengutus satu kaum yang dikatakan mereka itu baik bacaannya seramai 70 orang kepada kaum mushrikin yang telah melakukan perjanjian dengan Rasulullah S.A.W (mengikut riwayat hadis yang lain, 70 orang al-qura’ yang diutuskan oleh Rasulullah tersebut telah dibunuh). Lalu baginda berqunut selama sebulan mendoakan kecelakaan ke atas mereka.  

Penerangan lanjut tentang Qunut Nazilah boleh di rujuk di sini.

Sumbangan kepada Gaza dan Palestine

Selain doa, seboleh mungkin saya berazam untuk menyumbang semampu yang ada.  Ada cadangan agar berbuka puasa di tempat yang menaja makanan berbuka, maka duit yang diperuntukan untuk makan pada hari tu boleh disalurkan ke Palestine. InsyaALlah boleh dicuba cadangan ini.  Seorang kawan yang berniaga melalui Facebook pula menyalurkan beberapa peratus dari hasil jualannya kepada tabung Palestine. Ianya sesuatu yang bijak bagi saya, ibarat "killing two birds with a stone" bagi saya.  Dan, saya turut sama ikut jejak langkah beliau. 

Saya anggap ianya seperti usaha si burung kecil yang cuba mematikan api marak yang cuba membakar jasad Nabi Ibrahim dahulu.  Kita hanya berusaha, penentu segala semesti Allah.  Sebagaimana Allah mengarahkan api yang panas agar tidak membakar jasad Ibrahim, juga pisau yang tajam tidak mencederakan Nabi Ismail, maka adalah tidak mustahil bom Israel hanya jadi sekadar debu dengan arahan Rabbul Jalil. 

InsyaAllah usaha ini akan berterusan sepanjang Ramdhan ini.  Kita berperanan di penjuru masing-masing.  Saya do penjuru sebagai seorang pengedar bebas Shaklee. Orang lain mungkin punya ruang yang lebih besar, insyaAllah.

Shaklee dan Israel ?

Jikalau ada yang sangsi mengatakan Shaklee merupakan salah satu badan yang perlu diboikot, maka izinkan untuk saya katakan, yang perlu diboikot itu produk yang menyumbang kepada Israel, bukannya barangan daripada sesebuah negara.  

Jikalau ada yang kata Shaklee juga penyumbang kepada negara haram Israel, ketahuilah berita itu tidak tepat. Mungkin ada yang pernah melawat satu website kepunyaan seorang pengedar Shaklee yang membuat sumbangan kepada Israel.  Ketahuilah bahawa perkara tersebut adalah inisiatif yang bersifat individu dan tidak mewakili badan korporat Shaklee. Hal ini telah disahkan oleh pihak pengurusan tertinggi Shaklee sendiri. Penerangan lanjut boleh baca di sini.  InsyaAllah kempen boikot beberapa barangan yang dah bertahun-tahun yang saya dan keluarga dah buat, akan kami teruskan. Tentu sekali bukan sekadar memboikot, takkan saya jadi pengedar barangan kepada badan yang membuat sumbangan kepada Israel laknatullah. Saya pohon perlindungan daripada Allah.



Kiranya ada antara sahabat-sahabat yang ragu dan sangsi sebelum ini, moga-moga perkongsian ini memberi sedikit penjelasan dan melapangkan hati anda. =)

Ya Allah, Engkau percepatkanlah kemenangan umat Islam di Palestine. Jom amalkan Qunut Nazilah!

Tuesday, 8 July 2014

Arjuna Beta

Mendukung Haris yang keletihan muntah-muntah sambil mendengar lagu Fynn Jamal ni memang ibarat buku bertemu ruas. Arjuna Beta adalah luahan rasa yang tulus dari seorang ibu.


Takkan ku biarkan walau ribut yang menyentakmu tidur..


                                       

Bait-baitnya ringkas tapi cukup untuk menggambarkann seluruh perasaan kerisauan dan pengharapan seorang ibu terhadap anaknya.  

Nyamanlah arjuna beta
Mimpikan yang indah saja
Nanti bila kau buka mata
Semunya tak serupa

Air mata saya menitis sehabis bait ini. Kerana begitulah gambaran perasaan saya tiap kali saya memandang wajah anak-anak ketika mereka tidur.  Syukur saya dilahirkan dalam keadaan aman dan bebas untuk mengamalkan Islam.  Tapi saya tak tahu macamana kehidupan yang bakal anak-anak saya tempuh. Kuatkan meraka jika diuji?

Kan ada satu ketika 
kau tak tahu mana nak pergi
jalan betul anaknda tak jelas mata
Ambil yang sarat duri

Tiap kali terlintas perasaan ini, saya pujuk hati bahawa insan dengan iman yang kukuh akan cekal dan teguh dengan ajaran Islam sejati walau apa yang datang menguji. Jadi tugas saya adalah memberi bekalan ilmu cukup pada anak-anak moga mereka membesar dengan iman di dada.

Hiduplah Arjuna beta
Biarkan jasad yang luka
Selama Tuhanmu ada
Takkan engkau tercela

Anak-anakku, ingat segala pesan Mimi dan Baba juga guru-guru anaknda. Mimi dan Baba cuba berikan yang terbaik moga anak-anak punya bekalan terbaik dalam mengemudi kehidupan.

Ngeri tak terbayang mata
Bonda tak sentiasa ada

Perasaan sayang pada anak kadang-kadang buat saya terfikir yang bukan-bukan.  Kalau sekarang anak-anak masih mahu dicium di gomol, besar nanti bila anak dah jadi milik orang, masih adakah ruang sayang anak pada ibu yang dah tua ni. Hehee..melampau perasaan ke'aku'an ni kan? But I could'nt help it my children because I love all of you too deep.

Nanti moga kau tak lupa
bonda memujukmu, anaknda

Subhanallah, sangat halus perasaan keibuan dan kecintaan seorang Fynn Jamal. Saya doakan moga Allah panjangkan usianya dengan kesihatan yang baik dan ilham yang mencurah-curah untuk terus berkarya dengan bahan-bahan yang mendidik jiwa. Moga usahanya dikira amal disisi Pencipta Alam. InsyaAllah. 

jangan lupa Mimi ya, Auni Iman Haris.. :'(

Monday, 7 July 2014

Tips Puasa Kami

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan!! Saya nak share tips Ramadhan bersama anak-anak.  Moga ada yang boleh membantu untuk kita untuk melalui bulan Ramadhan ni dengan sebaik mungkin. Selain  sibuk nak plan lauk nak berbuka (saya la tu), jom kita tengok perkara lain yang perlu kita plan Ramadhan ni.

perkongsian tentang cara berpuasa dan solat terawih bersama anak anak
Ni Ramdhan 3 tahun lepas di Masjid Wilayah
1. Tips Sahur Anak-anak
Untuk anak yang baru nak belajar berpuasa, saya 'apply' tips yang dikongsi oleh selebriti Wardina Safiyyah iaitu melambatkan sahur mereka. In fact, dah masuk Subuh baru dikejut anak tu untuk bersahur. Bila begitu, anak tidaklah meragam untuk bangun awal-awal pagi untuk sahur. Saya pun boleh la siap-siapkan makan bersahur dan bersahur dengan cepat. Lagipun dengan buat begitu, harap-harap lama lah kenyang si anak.

Menu sahur pula, sebolehnya sediakan lauk kegemaran mereka. Untungnya anak-anak saya ni sempoi je selera mereka. Auni seleranya sebiji ibunya, senang kerja. Iman lagi senang..nasi kicap pun jadi..hahaa..Tahun ni sahur anak-anak akan saya tambahkan dengan Mealshake.  Ini untuk pastikan badan mereka dapat nutrient dan mineral yang cukup. Cerita tentang kebaikan Mealshake kepada anak-anak boleh rujuk di sini. Satu lagi menu wajib sahur anak-anak nanti ialah, Performance Drink (PD).  PD  ni fungsi dia untuk kekalkan bendalir dalam badan. Iyalah, rezeki tahun ni kita berpuasa dalam suasana panas yang agak melampau. Besar ujian, besar ganjarannya, InsyaAllah.

Tips Menu Sahur
Tahun lepas konon-kononnya saya nak cuba menu ringan semasa berbuka, dan menu berat semasa bersahur. Tapi tak menjadi sebab godaan terhadap makanan berat yang dah disediakan awal. Sudahnya, makanan ringan pun makan, makanan berat pun kena bedal. Hahaa..

Strategi menu sahur kali ni, rasanya kena ikut realiti tahun sebelum ni lah. Iaitu masak lauk baru yang simple. Sebab kalau ulang lauk berbuka, tak laju makannya. Lauk yang jadi pilihan selalunya apa2 yang masak sambal. So, untuk mudahkan penyediaan, masak sambal banyak2, simpan dalam bekas kecil-kecil ikut portion sekali makan.  Malam sebelum tidur keluarkan sambal frozen, bangun pagi tu tinggal goreng ikan/telur dan masukkan sambal frozen yang dah cari.  Resepi sambal frozen nanti kita buat dalam entry lain ya. InsyaAllah.

Di samping tu, tahun ni kami dah bersiap sedia dengan Set Sahur Power iaitu: Performance Drink dan Energizing Soy Protein (ESP). Berdasarkan pengalaman ganti puasa sebelum ni, ESP adalah menu bersahur yang mengenyangkan. Penting ada Set Sahur Power ni. Kot-kot satu hari tu terbangun lewat tinggal 10 minit je nak imsak, shake je ESP dengan PD lepas tu telan kurma. InsyaAllah kekal segar bertenaga hingga ke petang.

Tips Berbuka
InsyaAllah tahun ni kami nak amalkan berbuka dengan sedikit air dan kurma sahaja. Dan ohh, tidak dilupakan, 2 biji Phytocol ST, askar yang menentang kolestrol jahat.  Kemuadian terus  solat Maghrib dan barulah makan secara besar-besaran (hehee). Sedang elok habis Maghrib tu, fisoterol dalam Phytocol ST tu dah get ready dalam perut, jadi askar untuk halang kolestrol jahat masuk dalam badan. 

Tips Terawih Bersama Anak-anak

1. Tips Pilih Masjid
Di awal-awal Ramadhan kami akan bertukar-tukar masjid untuk terawikh. Tujuannya untuk kami kenalpasti gaya terawikh di satu-satu masjid tu. Sebab, kami bawa anak-anak sekali untuk berterawih. Maka,kami mencari masjid yang mesra kanak-kanak. Antara ciri utamanya jawatankuasa masjid yang mengalu-alukan kehadiran anak-anak kecil.

Ada masjid yang prihatin, disediakan tempat bermain untuk anak-anak macam di Masjid Besi, Putrajaya juga di Masjid Saidina Hamzah di simpang Wangsa Maju Seksyen 1 (tapi tempat mainnya di luar,mungkin kurang sesuai bagi anak-anak kecil).  Masjid Saidina Hamzah di Taman Batu Muda dan Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak pun sesuai untuk terawikh bersama anak-anak. Sebab kedua-dua masjid ni punya ruangan solat yang luas untuk wanita (read: ruang untuk anak2 kita beraktiviti) dan juga disediakan perpustakaan untuk anak-anak! MasyaAllah, tabarakallah. TERBAIK! Pun begitu, dalam keadaan sekarang yang digemparkan dengan kes culik kanak-kanak yang membimbangkan, rasanya kita kena lebih berhati-hati dalam memilih lokasi masjid. 

2. Tips Menunaikan Solat Terawikh

Sebolehnya saya nak tanamkan meriahnya Ramadhan sebagai pesta ibadah kepada anak saya. Sebab tu, sebolehnya saya nak bawa mereka berjemaah di masjid. Sebab meriahnya lain. Kalau di rumah, ianya sama seperti di bulan-bulan biasa. 

Dari sudut jumlah rakaat, memang kami akan buat 8 rakaat sahaja kalau bawa anak-anak. (Tu pun jenuh nak dapatkan khusyuk). Tips kami ialah, kami pilih masjid yang buat 21 rakaat . Ehh tapi buat 8 rakaaat? Ni tricknya, kami akan berjemaah Isya' di rumah dan pergi ke masjid selepas jemaah dah selesai buat 8 rakaat pertama. Manafaatnya kami tidak tergesa-gesa untuk isya di masjid. Iyalah, berbuka dengan anak-anak memang mencabar. Kalau nak kejar Isya di Masjid, keadaan yang memang dah kalut akan bertambah-tambah kelam-kabut. Satu lagi, sedang elok kami sampai tu, parking kereta pun dah kosong sebab ada jemaah yang balik. Ruangan solat pun dah tak sesak, ada la ruangan untuk hampar sejadah untuk anak-anak.

Satu lagi tips ialah memilih saf. Semestinya saya pilih saf di bahagian belakang dan tepi-tepi supaya mudah saya sediakan ruangan untuk anak-anak solat (dan bermain). Ilmu yang saya dapat semasa kursus haji yang lalu, kita akan dapat pahala berjemaah selagimana kita solat di dalam masjid, meskipun kita terputus daripada saff. Namun, terputus saff akan menyebabkan kita tak dapat pahala saff. Semestinya saya nak rebut dua-dua, tapi dalam keadaan bawa anak kecil, dapat pahala berjemaah pun dah jadi sesuatu yang sangat saya hargai.

Kalau di Masjid Persekutuan, Jalan Duta, disediakan ruangan yang agak besar di dalam masjid untuk kaum wanita bersalin pakaian. Dan ruangan tersebut bertutup. Selalunya di ruangan itulah saya solat bersama anak-anak. Kelebihan Masjid Persekutuan ialah ada pengawal keselamatan wanita yang menjaga ruangan solat di samping imamnya yang ala-ala imam Mekah, dan ada aircond! Well, sekarang dah banyak masjid yang ada aircond. Alhamdulillah. Tapi minggu lepas saya bersembang dengan sahabat saya katanya Masjid Wilayah dah tak benarkan bawa kanak-kanak ke ruangan masjid. Takpe, ni ada satu lagi masjid yang best yang mesra kanak-kanak iaitu Masjid Besi, Putrajaya.  Di situ ada tempat mainan kanak-kanak lengkap dengan pengawal keselamatan.  Kawan saya yang berterawikh di sana beritahu dalam dewan solat pun ada pengawal keselamatan wanita, tak ada la kita risau sangat masa solat tu. MasyaAllah. Sangat beruntung penghuni Putrajaya ni.  

antara masjid yang boleh dijadikan pilihan untuk solat berjemaah bagi keluarga dengan anak kecil
image credit to Redz Stone

3. Tips Bawa Anak Terawih

Anak-anak, mereka seronok ke masjid untuk bermain! Ruangan masjid yang luas, ada pulak rakan-rakan sebaya, aktiviti main kejar-kejar memang jadi pilihan.  So, untuk kurangkan aktiviti tu, bawalah buku, pensel dan warna atau apa-apa mainan yang tak mengganggu orang lain. Di samping tu kena bawa air dan makanan yang tak kotorkan ruang solat untuk anak-anak. Meraka selalu dahaga dan lapar, iyalah penat kan..so untuk elak mereka 'buat perangai', air sedap dan makanan yang sesuai boleh buat mereka kekal behave dan kitapun boleh selesaikan solat terawikh kita dengan aman. Bawa juga plastik kecik untuk buang sampah yang anak-anak kita buat.

Tahun lepas sahabat saya menghadiahkan telekung solat berwarna maroon, hadiah dari Jakarta.  Masa nak pakai ke masjid saya berfikir-fikir, takut nampak tabarruj atau nanti mengganggu khusyuk solat jemaah lain. Tapi sebab semangat nak sambut Ramadhan, saya pakai juga telekung tersebut.  Masa tu saya ada pembantu rumah, jadi saya bawa dia dan tiga anak saya.  Paling kecil masa tu tengah suka merangkak.  Satu kelebihan yang saya dapat dengan memakai telekung yang 'tabarruj' tersebut, anak-anak saya mudah kenal saya di antara jemaah-jemaah lain.  Jadi mereka tidak mengganggu jemaah lain, malahan mereka akan duduk dekat dengan si telekung maroon.  Hehe, boleh jadi ini satu tips yang boleh membantu para ibu- cari telekung yang menonjol berbanding jemaah lain. (letak sekuntum bunga besar kat sanggul ke...hehe)

Cuma, sedikit peringatan untuk saya sendiri, jangan pula keghairahan mengejar pahala sunat terawikh menyebabkan kita menjadi asbab orang lain solat tak khusyuk. Kadang-kadang ada masanya anak kita buat perangai terjerit-jerit, atau bergolek-golek depan jemaah lain yang sedang solat.  Pada pendapat saya,  adalah lebih baik kita berhenti solat dan melayan anak kita terlebih dahulu.  Mereka lebih berhak dilayan dan jemaah lain pula berhak untuk mendapat solat yang khusyuk.  Moga Allah sampaikan hajat kita untuk mentarbiyyah anak mencintai masjid dan juga memelihara silaturrahim kita sesama muslim.  InsyaAllah. Saya pernah share sedikit tips berkenaan solat di masjid bersama anak-anak di entry yang lepas yang mungkin boleh anda cuba.

perkongsian tentang cara bawa anak terawih di masjid
Selamat Berterawih bersama anak-anak! 


Rasanya cukup setakat ni sahaja. Saya harap ada antara tips ramadhan bersama anak-anak yang saya kongsikan ni yang boleh membantu anda.  Saya juga sangat hargai tambahan tips dari ibu-ibu lain.. Selamat Berpesta Ibadah, moga diberi kesihatan dan kekuatan untuk beridah seterusnya jadi graduan Ramadhan yang cemerlang. Juga, Allah sampaikan hajat kita untuk jadikan anak kita ahli masjid, InsyaAllah.