Monday 7 July 2014

Tips Puasa Kami

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan!! Saya nak share tips Ramadhan bersama anak-anak.  Moga ada yang boleh membantu untuk kita untuk melalui bulan Ramadhan ni dengan sebaik mungkin. Selain  sibuk nak plan lauk nak berbuka (saya la tu), jom kita tengok perkara lain yang perlu kita plan Ramadhan ni.

perkongsian tentang cara berpuasa dan solat terawih bersama anak anak
Ni Ramdhan 3 tahun lepas di Masjid Wilayah
1. Tips Sahur Anak-anak
Untuk anak yang baru nak belajar berpuasa, saya 'apply' tips yang dikongsi oleh selebriti Wardina Safiyyah iaitu melambatkan sahur mereka. In fact, dah masuk Subuh baru dikejut anak tu untuk bersahur. Bila begitu, anak tidaklah meragam untuk bangun awal-awal pagi untuk sahur. Saya pun boleh la siap-siapkan makan bersahur dan bersahur dengan cepat. Lagipun dengan buat begitu, harap-harap lama lah kenyang si anak.

Menu sahur pula, sebolehnya sediakan lauk kegemaran mereka. Untungnya anak-anak saya ni sempoi je selera mereka. Auni seleranya sebiji ibunya, senang kerja. Iman lagi senang..nasi kicap pun jadi..hahaa..Tahun ni sahur anak-anak akan saya tambahkan dengan Mealshake.  Ini untuk pastikan badan mereka dapat nutrient dan mineral yang cukup. Cerita tentang kebaikan Mealshake kepada anak-anak boleh rujuk di sini. Satu lagi menu wajib sahur anak-anak nanti ialah, Performance Drink (PD).  PD  ni fungsi dia untuk kekalkan bendalir dalam badan. Iyalah, rezeki tahun ni kita berpuasa dalam suasana panas yang agak melampau. Besar ujian, besar ganjarannya, InsyaAllah.

Tips Menu Sahur
Tahun lepas konon-kononnya saya nak cuba menu ringan semasa berbuka, dan menu berat semasa bersahur. Tapi tak menjadi sebab godaan terhadap makanan berat yang dah disediakan awal. Sudahnya, makanan ringan pun makan, makanan berat pun kena bedal. Hahaa..

Strategi menu sahur kali ni, rasanya kena ikut realiti tahun sebelum ni lah. Iaitu masak lauk baru yang simple. Sebab kalau ulang lauk berbuka, tak laju makannya. Lauk yang jadi pilihan selalunya apa2 yang masak sambal. So, untuk mudahkan penyediaan, masak sambal banyak2, simpan dalam bekas kecil-kecil ikut portion sekali makan.  Malam sebelum tidur keluarkan sambal frozen, bangun pagi tu tinggal goreng ikan/telur dan masukkan sambal frozen yang dah cari.  Resepi sambal frozen nanti kita buat dalam entry lain ya. InsyaAllah.

Di samping tu, tahun ni kami dah bersiap sedia dengan Set Sahur Power iaitu: Performance Drink dan Energizing Soy Protein (ESP). Berdasarkan pengalaman ganti puasa sebelum ni, ESP adalah menu bersahur yang mengenyangkan. Penting ada Set Sahur Power ni. Kot-kot satu hari tu terbangun lewat tinggal 10 minit je nak imsak, shake je ESP dengan PD lepas tu telan kurma. InsyaAllah kekal segar bertenaga hingga ke petang.

Tips Berbuka
InsyaAllah tahun ni kami nak amalkan berbuka dengan sedikit air dan kurma sahaja. Dan ohh, tidak dilupakan, 2 biji Phytocol ST, askar yang menentang kolestrol jahat.  Kemuadian terus  solat Maghrib dan barulah makan secara besar-besaran (hehee). Sedang elok habis Maghrib tu, fisoterol dalam Phytocol ST tu dah get ready dalam perut, jadi askar untuk halang kolestrol jahat masuk dalam badan. 

Tips Terawih Bersama Anak-anak

1. Tips Pilih Masjid
Di awal-awal Ramadhan kami akan bertukar-tukar masjid untuk terawikh. Tujuannya untuk kami kenalpasti gaya terawikh di satu-satu masjid tu. Sebab, kami bawa anak-anak sekali untuk berterawih. Maka,kami mencari masjid yang mesra kanak-kanak. Antara ciri utamanya jawatankuasa masjid yang mengalu-alukan kehadiran anak-anak kecil.

Ada masjid yang prihatin, disediakan tempat bermain untuk anak-anak macam di Masjid Besi, Putrajaya juga di Masjid Saidina Hamzah di simpang Wangsa Maju Seksyen 1 (tapi tempat mainnya di luar,mungkin kurang sesuai bagi anak-anak kecil).  Masjid Saidina Hamzah di Taman Batu Muda dan Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak pun sesuai untuk terawikh bersama anak-anak. Sebab kedua-dua masjid ni punya ruangan solat yang luas untuk wanita (read: ruang untuk anak2 kita beraktiviti) dan juga disediakan perpustakaan untuk anak-anak! MasyaAllah, tabarakallah. TERBAIK! Pun begitu, dalam keadaan sekarang yang digemparkan dengan kes culik kanak-kanak yang membimbangkan, rasanya kita kena lebih berhati-hati dalam memilih lokasi masjid. 

2. Tips Menunaikan Solat Terawikh

Sebolehnya saya nak tanamkan meriahnya Ramadhan sebagai pesta ibadah kepada anak saya. Sebab tu, sebolehnya saya nak bawa mereka berjemaah di masjid. Sebab meriahnya lain. Kalau di rumah, ianya sama seperti di bulan-bulan biasa. 

Dari sudut jumlah rakaat, memang kami akan buat 8 rakaat sahaja kalau bawa anak-anak. (Tu pun jenuh nak dapatkan khusyuk). Tips kami ialah, kami pilih masjid yang buat 21 rakaat . Ehh tapi buat 8 rakaaat? Ni tricknya, kami akan berjemaah Isya' di rumah dan pergi ke masjid selepas jemaah dah selesai buat 8 rakaat pertama. Manafaatnya kami tidak tergesa-gesa untuk isya di masjid. Iyalah, berbuka dengan anak-anak memang mencabar. Kalau nak kejar Isya di Masjid, keadaan yang memang dah kalut akan bertambah-tambah kelam-kabut. Satu lagi, sedang elok kami sampai tu, parking kereta pun dah kosong sebab ada jemaah yang balik. Ruangan solat pun dah tak sesak, ada la ruangan untuk hampar sejadah untuk anak-anak.

Satu lagi tips ialah memilih saf. Semestinya saya pilih saf di bahagian belakang dan tepi-tepi supaya mudah saya sediakan ruangan untuk anak-anak solat (dan bermain). Ilmu yang saya dapat semasa kursus haji yang lalu, kita akan dapat pahala berjemaah selagimana kita solat di dalam masjid, meskipun kita terputus daripada saff. Namun, terputus saff akan menyebabkan kita tak dapat pahala saff. Semestinya saya nak rebut dua-dua, tapi dalam keadaan bawa anak kecil, dapat pahala berjemaah pun dah jadi sesuatu yang sangat saya hargai.

Kalau di Masjid Persekutuan, Jalan Duta, disediakan ruangan yang agak besar di dalam masjid untuk kaum wanita bersalin pakaian. Dan ruangan tersebut bertutup. Selalunya di ruangan itulah saya solat bersama anak-anak. Kelebihan Masjid Persekutuan ialah ada pengawal keselamatan wanita yang menjaga ruangan solat di samping imamnya yang ala-ala imam Mekah, dan ada aircond! Well, sekarang dah banyak masjid yang ada aircond. Alhamdulillah. Tapi minggu lepas saya bersembang dengan sahabat saya katanya Masjid Wilayah dah tak benarkan bawa kanak-kanak ke ruangan masjid. Takpe, ni ada satu lagi masjid yang best yang mesra kanak-kanak iaitu Masjid Besi, Putrajaya.  Di situ ada tempat mainan kanak-kanak lengkap dengan pengawal keselamatan.  Kawan saya yang berterawikh di sana beritahu dalam dewan solat pun ada pengawal keselamatan wanita, tak ada la kita risau sangat masa solat tu. MasyaAllah. Sangat beruntung penghuni Putrajaya ni.  

antara masjid yang boleh dijadikan pilihan untuk solat berjemaah bagi keluarga dengan anak kecil
image credit to Redz Stone

3. Tips Bawa Anak Terawih

Anak-anak, mereka seronok ke masjid untuk bermain! Ruangan masjid yang luas, ada pulak rakan-rakan sebaya, aktiviti main kejar-kejar memang jadi pilihan.  So, untuk kurangkan aktiviti tu, bawalah buku, pensel dan warna atau apa-apa mainan yang tak mengganggu orang lain. Di samping tu kena bawa air dan makanan yang tak kotorkan ruang solat untuk anak-anak. Meraka selalu dahaga dan lapar, iyalah penat kan..so untuk elak mereka 'buat perangai', air sedap dan makanan yang sesuai boleh buat mereka kekal behave dan kitapun boleh selesaikan solat terawikh kita dengan aman. Bawa juga plastik kecik untuk buang sampah yang anak-anak kita buat.

Tahun lepas sahabat saya menghadiahkan telekung solat berwarna maroon, hadiah dari Jakarta.  Masa nak pakai ke masjid saya berfikir-fikir, takut nampak tabarruj atau nanti mengganggu khusyuk solat jemaah lain. Tapi sebab semangat nak sambut Ramadhan, saya pakai juga telekung tersebut.  Masa tu saya ada pembantu rumah, jadi saya bawa dia dan tiga anak saya.  Paling kecil masa tu tengah suka merangkak.  Satu kelebihan yang saya dapat dengan memakai telekung yang 'tabarruj' tersebut, anak-anak saya mudah kenal saya di antara jemaah-jemaah lain.  Jadi mereka tidak mengganggu jemaah lain, malahan mereka akan duduk dekat dengan si telekung maroon.  Hehe, boleh jadi ini satu tips yang boleh membantu para ibu- cari telekung yang menonjol berbanding jemaah lain. (letak sekuntum bunga besar kat sanggul ke...hehe)

Cuma, sedikit peringatan untuk saya sendiri, jangan pula keghairahan mengejar pahala sunat terawikh menyebabkan kita menjadi asbab orang lain solat tak khusyuk. Kadang-kadang ada masanya anak kita buat perangai terjerit-jerit, atau bergolek-golek depan jemaah lain yang sedang solat.  Pada pendapat saya,  adalah lebih baik kita berhenti solat dan melayan anak kita terlebih dahulu.  Mereka lebih berhak dilayan dan jemaah lain pula berhak untuk mendapat solat yang khusyuk.  Moga Allah sampaikan hajat kita untuk mentarbiyyah anak mencintai masjid dan juga memelihara silaturrahim kita sesama muslim.  InsyaAllah. Saya pernah share sedikit tips berkenaan solat di masjid bersama anak-anak di entry yang lepas yang mungkin boleh anda cuba.

perkongsian tentang cara bawa anak terawih di masjid
Selamat Berterawih bersama anak-anak! 


Rasanya cukup setakat ni sahaja. Saya harap ada antara tips ramadhan bersama anak-anak yang saya kongsikan ni yang boleh membantu anda.  Saya juga sangat hargai tambahan tips dari ibu-ibu lain.. Selamat Berpesta Ibadah, moga diberi kesihatan dan kekuatan untuk beridah seterusnya jadi graduan Ramadhan yang cemerlang. Juga, Allah sampaikan hajat kita untuk jadikan anak kita ahli masjid, InsyaAllah.







No comments:

Post a Comment