Sunday 2 March 2014

Perkongsian dari ibu Arwah Ahmad Ammar

Subhanallah Alhamdulillah.

Allah beri peluang untuk saya bertemu dengan ibu hebat kepada insan hebat, as-syahid Ahmad Ammar. Berita tentang arwah Ammar ni memang menarik perhatian saya kerana jika diteliti pada catatan di akbar atau di alam siber semuanya bercerita tentang keindahan budi pekerti beliau. Saya tercari-cari cerita ajaib, cerita hebat untuk pemikiran cetek saya ni dapat menerima kenapa arwah Ammar mendapat liputan dan penghormatan yang sebegitu hebat di hari kematian beliau. Sehingga kerajaan Turki menempatkan jasad beliau di makam yang menempatkan lebih 60 orang sahabat nabi, auliya; serta tokoh-tokoh hebat negara Turki.

Saya juga meneliti apakah yang beliau lakukan hinggakan beliau dinobatkan sebagai 'Syahid'-gelaran impian setiap umat Muhammad. Peluang berjumpa sendiri ibu kepada insan hebat in melalui program anjuran badan kakitangan wanita di pejabat saya memang tidak saya lepaskan.  Malangnya tiada cerita ajaib sepertimana yang saya bayangkan. Ahmad Ammar bukannya syahid di medan perang, namun belia meninggal dunia dalam keadaan menuju ke suatu tempat untuk mengajar ilmu  daripada kitab 'Risalah An Nur'.   Diceritakan oleh Pn Nur Azlina, beliau dipesan oleh salah seorang Tok Guru kepada Ahmad Ammar bahawa apabila pulang ke tanah air kelak, tolong beritahu orang ramai bahawa dia adalah ibu kepada ahli syahid. Pn Nur Azlina bingung bagaimana untuk membuat pengakuan sedemikian namun perancangan Allah yang Maha Hebat, perkara ini sampai kepada pengetahuan umum dan rakyat Malaysia melalui cerita sahabat-sahabat, bukannya dari mulut Pn Nur Azlina sendiri.

Sebenarnya cerita ajaib arwah Ahmad Ammar adalah pada akhlaknya. Seumur hidupnya beliau tidak pernah menyusahkan perasaan ibu ayahnya.  Beliau seorang yang cepat matang sedari kecil. Beliau tidak pernah menyakiti hati sahabatnya dan sangat suka menolong. Diceritakan, semasa mahu pulang menyambung pelajaran di Turki, beg beliau penuh dengan barang-barang pesanan para ibu untuk anak-anak mereka yang sama belajar dengan arwah. Sedikitpun beliau tidak menolak permintaan mereka atau mengeluh apatah lagi merasa berat untuk melaksanakan permintaan mereka. Puan Nur Azlina berkata, begitu lah Ammar. Kerana Ammar seorang yang sangat yakin redha Allah akan bersama-sama dengan beliau. "Ammar seorang anak yang baik, adik yang baik, abang yang baik,sahabat yang baik" begitu gambaran beliau yang diberi oleh ibu beliau. Terfikir saya, "Di manakah lagi kalau bukan di syurga tempat bagi seorang anak yang sangat diredhai ibu dan ayahnya?".


Selepas pemergian beliau, ibu ayahnya berkata, mereka ibubapa yang tidak mengenali anak sendiri.  Kerap di dalam perbualan melalui telefon, Ammar berkongsi keputusan peperiksaan beliau, "Dapat markah 65% sahaja..dapat 70% sahaja" tanpa beliau nyatakan bahawa markah tersebut merupakan markah tertinggi di dalam kelas! Kawan-kawan arwah berkongsi cerita tentang gelaran 'The Killer' yang diberi kepada Ammar atas kepantasan dan kemahiran beliau dalam melibas bola dalam permainan sepak takraw dan pelbagai sukan lain. Sedangkan bila bersukan dengan ayahnya, ayahnya sentiasa berjaya mengalahkan Ammar kerana beliau adalah seorang yang kaki bangku.  Insan manakah yang akan berbuat demikian melainkan atas rasa hormat yang tinggi dan juga perasaan ingin membahagiakan hati insan yang paling disayangi? Di saat anak-anak lain berbangga berkongsi perasaan seronok meraih markah tertinggi di dalam matapelajaran (mengalahkan pelajar tempatan yang lebih menguasai bahasa tersebut) Ammar tidak begitu. Samaada beliau memendam rasa untuk mengelak rasa riak, atau beliau merasakan tiada yang lebih bijak melainkan Allah swt, tidaklah saya ketahui. "Dan tidaklah aku diutuskan ke muka bumi kecuali untuk menyempurnakan akhlak"-maksud ayat al Quran hadith berkenaan tujuan Nabi Muhammad diutuskan ke bumi sebagai khalifah.  Ahklak mulia dan tinggi budi pekerti-tiadalah perkara lain yang lebih magik daripada perkara tersebut!

Terlalu banyak yang saya pelajari dari sessi ini. Dan saya pasti perkongsian saya ini tidak adil malah mungkin saya berat sebelah kerana point-point yang bakal saya catatkan di bawah merupakan point-point yang dekat di hati saya.  Tapi apa yang dapat saya simpulkan, nasihat/perkongsian daripada Puan Nurazlina adalah perkara-perkara asas dan praktikal. Tiada yang magik2 atau luar biasa yang tak mampu kita buat.  Bagi yang menginginkan perkongsian yang lebih,saya sarankan anda mendapatkan buku berjudul "Cerita Cinta Ahmad Ammar" susunan Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) yang diasaskan oleh Tuan Ahmad Azzam, ayahnda kepada arwah Ahmad Ammar.

Buku Cerita Cinta Ahmad Ammar cetus fenomena

Berikut saya kongsikan tips-tips (yang dekat di hati saya) dari Puan Azlina berkenaan "Mendidik Kepimpinan Anak Sedari Kecil".

1) Niatkan anak untuk diwakafkan kepada masyarakat dan dakwah

Semenjak anak di dalam kandungan Pn Nur Azlina dan suami memang meniatkan bahawa anak-anak mereka milik masyarakat, ummat dan agama. Terutama sekali Ahmad Ammar sebagai anak lelaki, mereka meletakkan pengharapan yang lebih.  Ahmad Ammar disunatkan ketika berusia 3 hari dengan harapan beliau cepat matang serta senang untuk di bawa ke masjid.  ALhamdulillah sebagaimana yang diniatkan, sebegitulah hasilnya. Ahmad Ammar seorang yang cepat matang. Di usia rakan-rakan sebaya bergelak ketawa dan bergembira, Ahmad Ammar kelihatan serius memikirkan sesuatu. Beliau jarang tersenyum sehingganya suatu hari guru kelasnya menelefon ibunya kerana melihat Ahmad Ammar tersenyum. MasyaAllah.

2) Bahan bacaan anak ketika kecil bakal mencorak pemikiran mereka

Semasa arwah Ahmad Ammar berumur 8 tahun, beliau sudah khatam buku berkenaan cendikiawan Islam. Mungkin pendedahan awal inilah memberi pengaruh kepada pemikiran, semangat juang dan kematangan kepada beliau. Maka, jangan pandang rendah pada keupayaan anak kecil untuk memahami isi kandungan buku yang kita rasakan berat. Saya bayangkan buku tersebut bukanlah bahan bacaan utk kanak2 kerana hanya dalam masa 5 tahun kebelakangan ni sahaja munculnya buku2 berunsur pendidikan Islam khusus buat anak2. Disebabkan apa yang anak kita baca sangat memberi pengaruh kepada corak pemikiran anak kita, maka berrhati-hatilah dalam memperkenalkan jenis bahan bacaan. Pilihlah yg boleh mendidik iman mereka.

3) Ibu Ayah Memain Peranan dalam Mencorak Masa Depan Anak

Point ini saya rumuskan dari 2 pengalaman Pn Nur Azlina. Pertama,perkongsian berkenaan minat terhadap sejarah yang dimiliki oleh Ahmad Ammar. Ini mungkin kerana kedua ibu ayahnya meminati sejarah maka bahan bacaan yang banyak dibeli kepada anak-anak juga adalah bahan bacaan berkenaan sejarah. Pengalaman kedua ialah peristiwa Pn Nur Azlina memujuk Ahmad Ammar untuk menerima tawaran masuk ke Maktab Tentera Diraja (MTD) Ahmad Ammar pada mulanya memang berat hati untuk menerima tawaran tersebut sehingga Pn Nur Azlina terpaksa memujuk beliau sebanyak 4 kali. Walaupun sayu melihat air muka anaknya yang berat tidak mahu pergi dan ianya merupakan kali pertama Ahmad Ammar mengatakan 'TIDAK' terhadap permintaan beliau, namun Pn Nur Azlina tetap tegas dan yakin dengan 'instict' dan pandangan beliau bahawa MTD merupakan tempat yang terbaik untuk anaknya.

Kadang kala, naluri keibuan saya kalah dengan rayuan anak yang membuatkan saya tidak tetap pendirian dalam mendidik mereka dan menurut sahaja kemahuan mereka. Ini kerana saya terbaca pandangan bahawa kita sepatutnya membiarkan anak-anak untuk menentukan haluan mereka. Perkara ini merupakan antara salah satu soalan yang tidak saya temui jawapannya sehinggalah selepas mendengar perkongsian dari ibu Ahmad Ammar ini.  Kitalah yang lebih dahulu makan garam maka sememangnya kitalah yang bertanggungjawab membentuk mereka.  Selagi mana asas kita adalah demi kebaikan anak itu sendiri dan agama terutamanya.

4) Kata-kata ibu ayah adalah DOA! Doa lah yang baik-baik

Antara kata-kata Pn Nur Azlina ketika memujuk Ahmad Ammar untuk menerima tawaran masuk ke MTD ialah, "Ibu yakin, sekolah lama Ammar ini akan berbangga mempunyai pelajar seperti Ammar yang akan berjaya di MTD". Subhanallah doa itu dimakbulkan, Ahmad Ammar menjadi pelajar SPM terbaik di MTD.

Juga ketika Ahmad Ammar bercerita tentang beliau ditempat di Universiti Marmara,Turki. Beliau agak risau memandangkan semua mata pelajaran di universiti tersebut adalah di dalam bahasa Turki dan bukannya bahasa Inggeris seperti universiti yang menjadi pilihan utama beliau. Pn Nur Azlina meyakinkan Ahmad Ammar bahawa beliau yakin anakknya itu boleh berjaya dan tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk belajar nanti. "Ibu yakin Ammar boleh buat sebab sebelum ini pun Ammar sudah tempuh pelbagai ujian dan Ammar berjaya menempuhinya". Sekali lagi doa ibu yang tulus ikhlas ini telah Allah makbulkan.

5) Teladani dan fahami kisah dan pengajaran di dalam al Quran

Apabila ditanya amalan nya ketika mengandungkan beliau kata beliau tidak mengamalkan bacaan surah-surah spesifik. Beliau hanya meneruskan bacaan al Quran beliau namun beliau berkongsi yang beliau memang membaca terjemahan ayat-ayat dari surah Maryam dan Yusuf. Ujar Puan Nur Azlina lagi, beliau merasakan pemahaman akan isi kandungan al Quran jauh lebih penting berbanding hafazan ayat Quran semata. Ahmad Ammar bersekolah di Maktab Tentera Diraja ketika di tingkatan 4 dan 5 namun beliau masih meneruskan hafazan al Qurannya ketika di sana.

6) "Saya tak mampu.."

Ini jawapan Pn Nur Azlina apabila ditanya samaada beliau mempunyai teknik-teknik khusus dalam mendidik anak-anak. Beliau katakan beliau ada mencuba utk menggunakan beberapa pendekatan teknik tertentu namun belia tidak mampu meneruskan perkara tersebut. Dengan tuntutan kerja serta mereka tinggal bersama dengan datuk nenek yang mempunyai cara pendidikan anak yang berbeza, teknik yang cuba beliau terapkan tak mampu bertahan lama. Apa yang beliau buat adalah sentiasa berfikiran positif dan sentiasa mengharap redha Allah dalam setiap apa yang beliau lakukan. Namun, beliau ada menggunakan 'flash card' kepada anak-anak beliau sejak mereka di dalam buaian lagi. Beliau berkata, mungkin teknik ini yang memupuk semangat suka membaca kepada Ahmad Ammar.


Akhiranya, sekiranya ditanya apakah tips penting yang menjadikan Ahmad Ammar menjadi insan yang sebegitu hebat. Atau mungkin ada yang mengatakan bahawa Pn Nur Azlina bernasib baik kerana dikurniakan Allah anak yang sebegitu baik dan mendengar kata, ingin saya simpulkan point penting ini:  Allah anugerahkan anak hebat Ini kepada Pn Nur Azlina dan pasangan adalah kerana mereka bekerja membantu agama Allah. Mereka merupakan aktivis badan dakwah Abim semenjak mereka di alam universiti lagi. Bahkan semasa mengandungkan Ahmad Ammar pun beliau tidak pernah meninggalkan kerja-kerja dakwah ini. Bukan sahaja masa bahkan wang ringgit telah mereka korbankan ke arah jalan dakwah.

"Bekerjalah membantu agama Allah, anak-anak anda pasti di bawah jagaan Allah"
 Kata-kata ini datangnya dari seorang yang sangat saya hormati iaitu Puan Mastura Muhammad. Beliau juga seorang yang giat menjalankan kerja-kerja dakwah melalui pelbagai medium antaranya Nisa'. Akhlak anak-anak beliau juga semuanya boleh diibaratkan umpama "sejuk mata memandang".

Hikmah kisah dari Sweeden

Saya sempat bertanya pendapat beliau akan hikmah atau pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah pasangan Malaysia yang kini ditahan di Sweeden pertuduhan memukul anak di rumah.  Puan Nur Azlina mendoakan agar Allah melindungi keluarga tersebut dan moga semuanya berakhir dengan jalan penyelesaian yang terbaik.  Sedikit pandangan beliau berkenaan isu 'pukul' sebagai elemen untuk mendidik anak, katanya "Pukul lah kalau kita rasa kita perlu pukul".  Sesungguhnya hanya kita yang lebih memahami keadaan dan keperluan untuk melakukan perkara tersebut. Peringatan dari beliau, kalau perlu anak itu diberi pengajaran melalui pukulan, pastikan kita melakukannya dalam keadaan tenang dan tidak marah. Beliau berkongsi pengalaman beliau memukul anak," Saya pernah memukul anak saya sekali. Ketika itu usianya dalam 2 tahun. Saya lupa atas kesalahan apa tapi saya sedikit pukul punggung anak saya. Selepas itu anak saya terus membalas pukulan saya dengan muka yang kelihatan amat marah! Itu lah pukulan pertama dan terakhir saya. Sejak itu saya tidak lagi menggunakan pukul sebagai elemen untuk mendidik". Tambah beliau lagi, "Ammar jangan cakap lah. Dia anak yang baik dan tidak pernah dipukul.

Sekian catatan saya. Saya amat hargai sekiranya ada yang sudi berkongsi di ruangan comment akan tips atau hikmah pengajaran  yang dipelajari daripada kisah arwah Ahmad Ammar ini. 


6 comments:

  1. Jazakillahu khairan kathiran atas penulisan ini. Semoga ramai lagi individu seperti Ahmad Ammar terhasil daripadanya.

    Suatu pembetulan, kata-kata tentang tujuan Rasulullah SAW diturunkan itu merupakan hadith dan bukan ayat Al-Qur'an.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah dan terima kasih atas teguran. Saya dah betulkan di atas.

    ReplyDelete
  3. Salam.Alhamdulillah dan syukur diketemukan dengan bacaan ini untuk dikongsi bersama. Dalam nak mendidik anak-anak kecil pada Akhir zaman ini memerlukan Ilmu didikan yang tinggi.Sebab banyak pengaruh2 luar yang secara tidak langsung yang boleh membentuk anak ke arah yang mungkin kurang elok.Perkembangan teknologi ada bagusnya tapi ibubapa zaman ini kadangnya leka dan tak memahami akan impact yang boleh pengaruhi minda anak2 kecil kita.Saya mempunyai seorang anak kecil dan masih mencari2 medium2 yang terbaik untuk membesarkan anak saya.Bacaan ini sedikit sebanyak membantu pencarian saya dalam membesarkan anak seperti Ammar.Insyallah.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas perkongsian. Boleh saya share dalam blog saya dan kreditkan kepada blog puan? Terima kasih.

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete