Harga Produk Shaklee

Pages

Monday, 20 October 2014

I Want To Touch A Dog

Program 'I Want To Touch A Dog' yang berlangsung Ahad lepas kecoh dibincangkan terutama di kalangan orang Melayu Muslim. Ada macam-macam pandangan tentang isu ini. Biasalah, ada yang fanatik mati-mati kata haram, berdosa. Ada juga yang kata inilah satu ruang untuk kita tonjolkan sikap sebenar seorang Islam. Penuh peri kemanusian dengan makhluk ciptaan Allah.

Dikatakan antara tujuan program adalah untuk menghilangkan perasaan takut terhadap anjing, terutama di antara penganut Islam. Semasa program juga diajar tatacara menyucikan diri selepas terkena anjing.

Saya rasa bersyukur dengan penganjuran program ni.  Bersyukur sebab ia umpama satu tamparan kuat di pipi saya yang dah agak leka dan terlupa. Tamparan tu beserta dengan pesanan, "Jaga anak kamu. Jaga akidah mereka. Pastikan aqidah ahli keluargamu aqidah yang benar. Jarum halus menggoyah aqidah sekarang amat halus. Ia tidak hanya datang dalam bentuk yang jelas nampak buruknya. Zaman sekarang ia datang dalam bentuk yang sangat mengelirukan". 

Analogi mudah, kalau kita nampak orang yang kena demam campak, pasti kita akan berhati-hati dan tak beri anak kita bermain dengan orang tu. Sebab takut berjangkit. Petanda penyakitnya jelas nampak di mata.  Tapi macamana dengan orang yang ada penyakit SARS yang boleh berjangkit melalui udara? Simptom penyakitnya kurang jelas di mata kasar, hanya orang yang mahir boleh tahu. Entahkan, beria-ria kita jauhkan diri dari orang yang kena demam campak, alih-alih kita duduk sebelah orang yang kena SARS. 

Begitu ancaman akidah di zaman sekarang. Hanya insan yang ada ilmu di dada yang berpegang dengan aqidah yang benar sahaja yang akan selamat.  Ujian ancaman bukan hanya datang daripada 'missionary', yang berpakaian baju keagamaan mereka, ujian ancaman aqidah zaman ini boleh datang daripada insan yang berketayap berjubah.  

Kita tak mampu menafsir ancaman tersebut dengan mudah. Tapi kita boleh berusaha memperkuatkan 'sistem imun' iman kita dengan ilmu  dan aqidah yang benar. Sistem imun iman yang kuat, boleh memberi signal sesuatu itu menyimpang dari ajaran yang benar dengan hanya sekilas pandang. 

Dikatakan ulama, pandangan hati atau first instict selalunya benar selagimana kita dekat dengan Allah. Namun, kalau kita kerap melawan naluri halus dalam hati, lama kelamaan ianya tidak lagi bagi signal yang benar. Perbuatan salah yang kita jadikan kebiasaan membuatnya, lama-lama dah hilang rasa bersalah masa membuatnya. Macam kata pepatah la, 'Alah Bisa, Tegal Biasa'.

Pandangan peribadi saya tentang program ini? Saya suka jawapan ringkas sahabat saya. Katanya, " Anjing itu najis. Islam ajar kita kasihan dan ada belas ehsan kepada haiwan. Namun ia tetap najis. Macam taik ayam. Kalau tersentuh dalam keadaan ianya kering dan tangan kita pun kering, tak jadi najis. Tapi, ada tak kalau kita jumpa taik ayam, kita nak pergi sentuh dan belai?

'My take' daripada pengajuran program ini ialah, saya harus lebih banyak bercerita tentang hukum hakam agama dalam bentuk santai dan praktikal dengan anak-anak. Saya tak boleh ambil mudah dengan apa yang berlaku di sekeliling. Hukum yang wajib, kekal wajib dan tidak boleh diringankan. 

Teringat saya beberapa hari lepas Auni menggayakan hijab ala-ala moden. Dipakainya serkup kepala dan ditutup kepalanya dengan hodie baju. Diletakkan pin di hodie untuk jadikan ia macam tudung. Saya biarkan saja walaupun saya tak berkenan sebab saya fikir, " Biarlah budak-budak nak berfesyen.  Lagipun dia tak wajib bertudung lagi." 

Program 'I Want To Touch A Dog' ni beri kesedaran yang saya tak boleh meringankan hukum. Saya patut terangkan dan ajar hukum hakam dengan jelas pada Auni. Saya tak boleh biasakan Auni dengan perbuataan meringankan hukum. Saya patut cakap, " Auni, menutup aurat itu menyembunyikan aurat kita dan bentuknya. Cara Auni pakai ni tak sempurna menutup auratnya. Orang boleh nampak bentuk leher Auni dan Auni tak tutup dada. Kita patut melabuhkan tudung hingga ke dada."

Ajarkan anak dengan ajaran Islam yang tepat, bukan separa-separa. Bak kata prinsip di pejabat saya, "First Thing Right, Everytime". Jangan biasakan yang salah.

InsyaAllah.

Tuesday, 7 October 2014

Mee Udang Original

Mee Udang Original ialah yang kuahnya cair seakan-akan sup tapi ada sedikit perencah dan udang besar gemuk-gemuk.  Ini adalah definisi baru mee udang bagi saya. Saya cuba google resepi Mee Udang Mat Gebu tapi resipnya sama dengan definisi lama saya tentang mee udang.  Iaitu mee dengan kuah pekat seakan-akan kuah mee bandung. Itu kesukaan saya yang dulu. Kesukaan terkini ialah mee udang yang plain simple but yet tasty. *salivating already

Atau, sememangnya semua orang dah tau pasal mee udang original dan hanya saya je yang baru berkenalan seminggu yang sudah? Eh, walaupun perkenalan saya dengan mee udang baru 7 hari tapi saya dah makan mee udang 5 kali tau! Hahaa..iya..saya makan mee udang tiap-tiap hari di pejabat dan sekali beli di kedai dekat rumah. Semuanya bermula bila ada logo halal depan kedai yang jual mee udang dekat opis. Sebelum ni saya jeling je kedai tu meskipun saya terliur dengan menu-menunya yang mesra diet. Something soupy, not that heavy (less calories, thats what i meant).

Plain soup with some special sambal. KLCC foodcourt level 4 mari.

Mee Udang sedikit berlemak. Kedai Mee Udang Batu Caves. Malay style, I guess.


Ok, dua gambar di atas bukti  hubungan akrab saya dan Mee Udang. 

Tak pulak  saya snap gambar tiap2 kali makan mee udang..hee..setelah puas google, saya dah jumpa resipi mee udang suit to my liking dari blog artis favourite.  Bawah ni resipinya, diambil dari blog Hanis Zalikha. Sepanjang saya google, resipi ni yang nampak paling sedap dan menepati selera saya. 

Bahan-bahan (untuk celur dalam air mendidih beberapa minit, pastu letak tepi)
1. Mee kuning
2. Bihun (kalau Mee Udang original ada bihun sekali, tapi lupa beli lulzy)
3. Fishball (atau orang Jawa panggil pisbbol, b tuh pekat sikit sebutan dia k)
4. Fishcake
5. Taugeh
6. Kangkung
7. Tauhu
8. Udang 20 ekor (ini saja yang bukan dicelur tapi direbus asing, jangan buang kepala udang dan air rebusan udang)

Bahan-bahan (untuk dikisar lumat dan ditumis)
1. Cili kering yang dah direbus, dibersih dan dikisar. Dalam 1 cawan (takde sukatan sebenarnya, roughly jer, saya tak suka sukat bila masak, kena feel masa tuh gak)
2. Belacan sebesar ibu jari. LOL boleh tak sukat camni. Ala bolehlah bolehlaaah.
3. Taucu satu sudu.
4. Udang kering dua genggam, kalau genggaman anda kecil seperti Keknis.
5. Bawang merah 3bijik. *maaf tertinggal bawang tadi.
6. Bawang putih 5ulas.

Bahan-bahan lain
1. Air asam jawa sebanyak suku cawan.
2. Air rebusan udang tadi yang dikisar bersama kepala udang pastu ditapis. Ini kuantiti air rebusannya semangkuk besar.
2. Limau kasturi untuk dipotong bontotnya dan letak tepi mangkuk waktu makan.

Langkah-langkah
1. Celur semua bahan yang perlu dicelur pastu letak tepi suruh dia duduk diam-diam.
2. Kopek kulit dan kepala udang pastu sisa kulit dan kepala tuh semua letak dalam air rebusannya tadi dan kisar air udang tuh. Udang yang dah togel tuh letak tepi untuk hias mee udang nanti (garnish).
3. Kisar semua bahan yang perlu dikisar (cili,belacan,taucu,udang kering,bawangs) pastu tumis!
4. Tumis sehingga naik minyak dan bau semerbak satu kampung pastu letakkan air asam jawa, disusuli dengan air rebusan udang yang telah ditapis. Kalau tak tapis nanti rasa ngeres kat lidah bila makan. Ngeres tuh maksudnya berpasir-pasir.
5. Masak masak masak pastu tambah air, ikut kesesuaian texture kuah mee udang, masukkan pisbbol dan fishcake.
6. Tambah garam, ajinomoto dan gula. Sukatan dia banyak gaklah, sebab kuah tuh akan jadi banyak, hampir penuh kuali sederhana besar, maka perasa pun kena banyak. Tambah jugak stok ayam.
7. Godek-godek sampai sedap, pastu hidangkan!

Thanks Hanis Zalika!

Haa..ni pulak Mee Udang hasil tangan sendiri, guna resipi di atas.  Verdict? TERBAIK!!! Sambal tu saya rasa boleh juga dijadikan paste untuk goreng mee dan apa2 ajelah. Sebab sedap sangat!



Sambal tu bahan terpenting dan wajib sedap.

Haa..jangan tengok je, sila cuba ya! 

Sunday, 5 October 2014

Aidiladha Yang Istimewa

10 Zulhijjah menandakan hari raya Aidiladha juga dikenali sebagai Raya Haji atau Raya Korban. Berbeza dengan Aidilfitri yang disambut pada 1 Syawal, perayaan Aidiladha kurang 'thrill' berteka teka esok raya ke tidak. Sebab tarikhnya telah diketahui 10 hari lebih awal.  Thrill untuk tahu tarikh Aidiladha hanya wujud di kalangan jemaah haji yang mengharapkan ianya pada hari Sabtu yang menandakan wuquf pada hari Jumaat yang digelar Haji Akbar.

Mungkin juga sambutan Aidiladha kurang meriah rasa menyambutnya sebab tidak diwajibkan berpuasa sebelum menyambutnya serta tiada amalan solat terawikh. Saya sendiri, semasa petang terakhir di pejabat sebelum bercuti Aidiladha, kurang kedengaran ucapan "Selamat Hari Raya" sesama rakan sepejabat. Ucapan raya di email, apatah lagi kad,memang tak pernah ada.

Raya Puasa meriah dengan adanya persiapan pra perayaan selama sebulan iaitu ibadah puasa. Raya Kurban atau Raya Haji pula sebenarnya persiapan pra rayanya dimulakan sejurus selepas raya puasa! Iaitu 2 bulan sebelum Raya Korban. Kalau siapa yang biasa tinggal di kampung mesti tahu apa persiapaannya. Mencari lembu korban dan individu yang nak buat korban! Kalau di kampung saya di Kelantan, dalam bulan Syawal tu dah mula soseh soseh pakcik2 di madrasah berbicang mencari gu (kawan2) untuk kongsi bahagian korban dan aktiviti mencari lembu korban. Ada yang membela sendiri lembu untuk pastikan bagi makanan terbaik pada lembu demi memastikan binatang korbannya ialah yang terbaik.

Tiap kali Raya Korban saya mesti teringat arwah Tok Ayah terutama masa dengar alunan takbir raya yang saya panggil 'Bang (Azan) Sedih'. Teringat suara merdu Tok Ayah mengalun takbir. Dia yang tahu kesukaan saya ni selalu pesan, "Dik, dengar la puas-puas Bang Sedih nih. Nanti asar Hari Raya ke 4 dah takde bang adik nih".



Melihat pada tempoh Takbir Raya selama empat hari berbanding Aidilfiti yang hanya sehai, sememangnya Aidiladha adalah perayaan yang lebih istimewa.  Keistimewaannya terletak pada dua ibadah utama iaitu ibadah Korban dan ibadah wuquf.  Ibadah Korban istimewa sebab ianya ibadah terawal yang Allah  syariatkan. Bermula dengan peristiwa Nabi Ibrahim yang diperintahkan Allah melalui mimpi untuk mengorbankan anaknya. Ceramah di radio ikim memperincikan, ini menggambarkan bahawa ibadah korban adalah suatu ibadah yang sabgat diperlukan manusia.  Ianya ibadah yang kita buat semata-mata hanya kerana Allah. Tanda ketaatan seorang hamba. Ianya melibatkan pengorbanan harta - wang ringgit. Ianya tidak wajib, tapi sunat muakkad. Takkan kita berdosa jika tidak kita laksanakan. Tapi kita berusaha melaksanakannya sebab kita mahu menggembirakan Pencipta kita bahwa kita sanggup berkorban demi melaksanakan ibadah sangat-sangat Allah sukai. 

Ibadah wuquf pula berlangsung sehari sebelum Aidiladha iaitu pada 9 Zulhijjah.  Istimewanya ibadah wuquf di Arafah pula kerananya ianya kemuncak ibadah haji. Satu-satunya rukun haji yang perlu dilaksanakan sendiri dan tidak boleh diwakilkan kepada orang lain. Hatta kalau sakit sekalipun, mereka akan dibawa untuk berwukuf. Ianya gambaran kepada perhimpunan besar kita di padang mahsyar kelak. Aidiladha menandakan kemenangan para hujjaj yang telah selesai melaksanakan ibadah wuquf. 

Suasana wuquf. Jemaah Haji keluar dari khemah dan berdoa bermula masuk waktu Zohor hingga masuk Maghrib.

Rasulullah berwuquf di kaki Jabal Rahmah. Sebab itu Jabal Rahmah menjadi pilihan ramai jemaah haji ketika wuquf.

Takbir Raya pula menandakan para hujjaj yang telah selesai melontar jamratul Aqabah. Jemaah haji tidak boleh bertakbir sekiranya belum selesai melontar Jamratul Aqobah. Takbir berakhir pada hari 13 Zulhijjah pula.melambangkan jemaah haji telah selesai melontar di kesemua jamrah di ketiga-tiga hari melontar.

Gambar menunjukkan tiang jamrat yang lebar. Waktu sunat untuk melontar ialah waktu dhuha 10 Zulhijjah.

Kompleks melontar 5 tingkat - kurang kesesakan untuk melontar

Sememangnya banyak kemenangan yang dirayakan semasa Aidiladha. Dan ianya hanya akan benar2 dirasai oleh siapa yang memahami tiap ibadah yang terkandung di dalamnya. Mungkin menjadi tetamu Allah menunaikan haji bukannya sesuatu yang boleh kita buat setiap tahun namun kita masih ada ibadah korban. Sebaik-baik korban ialah yang kita lihat sendiri darah binatang korban kita mengalir. Untuk itu, kita kenalah awal-awal book bahagian korban awal2. Dalam kata lain, buat persediaan awal, bukannya seminggu sebelum Aidiladha menjelma.

Saya rasa, semangat meraikan Aidiladha akan lebih terasa bila kita buat amalan2 khusus yang disunatkan khusus untuk Aidiladha. Kepada anak2, saya terfikir perlara2 berikut boleh dibuat untuk menambah rasa excited untuk merayakan Aidiladha dan menghayati erti sebenar Aidiladha. 

Antaranya:-
1) Ajak menabung dari awal tahun Islam untuk tujuan berkorban nanti. Jadi bila menjelang Zulhijjah semestinya mereka terlebih2 bersemangat untuk melihat binatang korban hasil tabungan mereka semenjak awal.
2) Ajak anak berpuasa sunat 10 Zulhijjah. Ceritakan kepada mereka tentang ibadah wuquf.
3) Ajak anak-anak berdoa beraungguh2 ketika waktu wuquf jemaah haji di Arafah kerana ianya waktu mustajab doa. 
4) Berpakaian cantik di pagi raya dan solat sunat Aidiladha di masjid.
5 )Ajak anak bertakbir raya tiap kali lepas solat sehingga asar hari ke 13 Zulhijjah.

Moga2 dengan kita usaha kita untuk lebih menghayati Aidiladha menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Amin.

Friday, 3 October 2014

Dip N Dap

Ini cerita percubaan kali kedua saya main 'water color' dengan anak.  Kali pertama, disaster! Nanti di hujung entry ni saya kongsi ceritanya.

Di petang Ahad yang nyaman, saya sapu-sapu rumah. Lepas tu nampak kotak. Lepas tu terus teringat janji manisku dengan anak-anak. Lalu saya potong kotak, konon-konon buat bentuk bekas letak warna. Susun water color dan barang-barang yang sewaktu dengannya atas meja. Tak lupa 2 bekas besar air dalam bekas besar. Lalu saya panggil anak-anak untuk memulakan aktiviti. 


Kakak tolong adik
Kami guna painting brush yang beli kat Mr DIY. Masa 1st attempt kami guna batang pokok pisang (import jauh dari Semenyih) tapi tak menjadi. Kali ni guna yang moden, mudah dan cantik corakknya.  Kakak Auni lebih kreatif, dia cari berus gigi lama dan buat 'air spray'. Alhamdulillah..so far so good. Aman dan tenang dan gembira suasanannya. Maka saya tinggalkan mereka dan pergi sambung mengemas.


Seronok betul Haris main conteng-conteng
Tak lama lepas tu, tak sampai 10 minit je tinggal tiba-tiba Haris menangis.  Rupanya Haris kena marah dengan kakak sebab dia dah basahkan satu meja tu dengan air dalam jeluk air tu. Hohoho..art-class-turned-disaster version 2. 

Elok-elok dapur dah kemas, ruang tamu dah kemas ingatkan boleh berehat dah. Kena kemas dan mop semula ruang tamu. *___*  Tarik nafas panjang-panjang saya kemaskan semuanya. Art class ditamatkan dan saya ajak semua naik atas untuk solat Asar. 

Kemudian turun semula ke dapur dan nampak ini..

Hasil karya terpampang megah di pintu peti ais
Auni tampal hasil yang dia buat. Lukisan princess tu dia buat diam-diam lepas saya tamatkan kelas tadi. Lukisan Haris? Tak payah cari lah. Dah lunyai bersama-sama air yang dia tumpahkan tadi.  Lepas tu ada nota : Daripada Auni. *Mimi cair =)

Our wall of fame
It was indeed a good activity! Bukan je anak-anak happy dapat main dan berkreatif. Sebaliknya banyak pengajarannya pada saya juga.  Cubaan kali kedua ni berjaya dibuat dalam keadaan yang happy dan tenang. Happy ending.

Masa 1st attempt tu saya buat dalam keadaan kelam kabut, tak well prepared. Anak-anak pun tak dapat saya kawal. Buat aktiviti yang melibatkan air memanglah mencabar. Anak-anak memang sangat teruja dengan water color, mak pulak 'jangan' sana, 'jangan' sini sebab risau rumah sepah malas nak kemas. 

Ending 1st art class kami tu dengan sad ending. Ada yang merajuk lepas kena tegur dengan Mimi; lukisan tak habis buat, water color terbiar sepi takde siapa nak main. Huhuu. Sedih sebab dah buat anak-anak daripada rasa happy kepada tak happy. It should be fun activity but it's  not. 

Teringatkan bad experience tu la saya dapat bersabar dengan aksi Haris tumpahkan air. Sebab saya tak nak dah rosakkan kegembiraan mereka masa bermain.  Ya, jadi ibu kena banyak BERTENANG dan BERSABAR. Dan, kena pandai2lah pilih waktu yang sesuai kalau nak buat aktiviti mencabar dengan anak-anak. "Yang ko pergi ajak anak main cat pukul 10malam esoknya hari Isnin nak kerja siapa suruh? Tu cari pasal namanya!" <--- ni nota untuk diri sendiri je. Pengajaran daripada kelas pertama yang gagal tu.